Kenyataan Media BERSIH
13 Jun 2026
Kempen Pilihan Raya Bersih dan Adil, Tolak Salah Guna Sumber Kerajaan Untuk Berkempen
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengambil maklum pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Di tengah-tengah suhu dan persaingan politik yang tinggi, BERSIH menggesa semua parti politik dan calon-calon untuk berkempen berpandukan prinsip pilihan raya bersih, bebas dan adil agar rakyat dapat membuat pilihan yang tenang dan rasional.
BERSIH memberi peringatan kepada semua pihak; parti-parti politik, calon-calon pilihan raya, pihak berkuasa, kerajaan sementara dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam PRN kali ini untuk mematuhi undang-undang terutamanya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR). Kesalahan pilihan raya yang biasa dilakukan oleh calon atau parti politik semasa kempen adalah seperti kesalahan penjamuan dan pemberian barang bernilai (Seksyen 8) dan penyogokan (Seksyen 10).
BERSIH juga ingin mengingatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sementara untuk tidak berkempen secara langsung atau tidak langsung, dengan menganjurkan majlis atau acara kerajaan selepas daripada pembubaran dan pengumuman tarikh-tarikh pilihan raya. Majlis kerajaan dianjurkan dengan menggunakan wang rakyat dan tidak wajar digunakan untuk memberi kelebihan kempen kepada calon-calon kerajaan.
BERSIH akan menghantar kumpulan Pemantau Pilihan Raya BERSIH ke Johor dan Negeri Sembilan untuk memerhati penjalanan pilihan raya, khususnya bagi memantau kesalahan pilihan raya seperti rasuah, penjamuan, penggunaan sumber dan jentera kerajaan untuk kegunaan calon dan lain-lain kesalahan pilihan raya. Maklumat berkenaan Pemantau Pilihan Raya BERSIH boleh diakses melalui laman web Bersih di
bersih.org.
BERSIH bergerak melalui sokongan dan dukungan rakyat. Kami menyasarkan RM30,000 bagi menggerakkan kempen Pemantau PRN Johor dan Pemantau PRN Negeri Sembilan, terutama untuk mobilisasi pasukan Pemantau dan kempen-kempen di media sosial. Sumbangan boleh disalurkan ke:
Bersih & Adil Network Sdn Bhd
512295102931
Maybank
Rujukan: PantauPRN
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH