SALAM MAAL HIJRAH 1448H
Alhamdulillah, kita sekali lagi dipertemukan dengan tahun baharu Hijrah, satu peristiwa agung dalam sejarah Islam, iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi, yang menjadi titik permulaan kepada penggunaan takwim Islam.
Namun Maal Hijrah bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar Islam, tetapi merupakan seruan untuk kita melakukan penghijrahan diri ke arah yang lebih baik — daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada perpaduan, dan daripada sikap lalai kepada tanggungjawab yang lebih besar terhadap agama, keluarga dan negara.
Dalam menghadapi keadaan dunia yang semakin mencabar hari ini, termasuk krisis tenaga, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia, kita perlu mengambil iktibar daripada semangat Hijrah. Cabaran ini menuntut kita untuk lebih berhemah, berdaya tahan dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
Islam sendiri mengajar umatnya supaya mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran dalam setiap aspek kehidupan. Firman Allah SWT:
“Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan! Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”
(Surah Al-A’raf, ayat 31)
Begitu juga firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.”
(Surah Al-Isra’, ayat 27)
Marilah kita membudayakan amalan berjimat cermat, menggunakan tenaga dan sumber secara berhemah, mengelakkan pembaziran makanan, air dan elektrik, serta mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Langkah kecil yang dilakukan secara bersama mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.
Pada masa yang sama, kekuatan Malaysia sentiasa terletak pada perpaduan rakyatnya. Dalam apa jua cabaran yang mendatang, kita tidak boleh membiarkan perbezaan memisahkan kita. Sebaliknya, semangat kebersamaan, saling menghormati dan berganding bahu perlu terus diperkukuhkan demi memastikan negara kekal aman, stabil dan makmur.
Semangat hijrah yang diwariskan oleh Rasulullah SAW hendaklah terus menjadi inspirasi dalam membentuk peribadi yang berakhlak mulia, memperkukuh ukhuwah, serta memacu kemajuan ummah berlandaskan nilai-nilai Islam yang syumul.
Sempena Maal Hijrah ini, marilah kita memperbaharui azam, memperkukuh perpaduan, meningkatkan integriti serta terus bekerja keras demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang. Dengan semangat Hijrah, Insya-Allah kita akan mampu mengharungi segala cabaran dan membina negara yang lebih kuat, berdaya saing dan diberkati Allah SWT.
Selamat Menyambut Awal Muharam 1448H
MADANI Dihayati, Ummah Diberkati
Hj Fadillah bin Hj Yusof
1 Muharam 1448H