MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PANGLIMA WILAYAH LAUT 2
27 Mac 2026 – Dalam suasana penuh istiadat, tradisi dan semangat ketenteraan yang tinggi, Majlis Serah Terima Tugas Panglima Wilayah Laut 2 telah berlangsung dengan jayanya di Markas Wilayah Laut 2 hari ini, menandakan satu lagi detik penting dalam kesinambungan kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Majlis turut diserikan dengan Upacara Pemakaian Pangkat yang dimulakan dengan pemakaian pangkat Laksamana Muda Ivan Mario Andrew, Lt Kdr Muhammad Hafiz bin Zakaria TLDM, dan Lt Kdr Abdul Basit bin Dato' Kamarudin TLDM.
Majlis bersejarah ini menyaksikan penyerahan tampuk pemerintahan daripada Laksamana Muda Datuk Yusne bin Mokhtar kepada Laksamana Muda Ivan Mario Andrew sebagai Panglima Wilayah Laut 2 yang ke-35. Upacara simbolik yang sarat dengan nilai tradisi ini telah disempurnakan oleh YBhg Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi bin Idris melalui upacara menandatangani sijil serah terima tugas serta penyerahan tanggungjawab secara rasmi, disaksikan oleh seluruh warga TLDM Sandakan yang berdiri teguh sebagai saksi kepada kesinambungan amanah dan tanggungjawab tersebut.
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Laksamana Muda Datuk Yusne bin Mokhtar telah mempamerkan kepimpinan yang berwibawa dan berprinsip, berjaya memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi maritim, memartabatkan profesionalisme warga TLDM serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. Sumbangan dan dedikasi beliau akan terus terpahat sebagai legasi yang menjadi asas kepada kecemerlangan seterusnya.
Pengambilalihan tugas oleh Laksamana Muda Ivan Mario Andrew pula membuka lembaran baharu yang penuh harapan dan aspirasi. Dengan pengalaman luas, kepakaran strategik serta komitmen yang tidak berbelah bahagi, beliau diyakini mampu meneruskan momentum kecemerlangan, memperkukuhkan keupayaan operasi serta memimpin warga Wilayah Laut 2 ke tahap yang lebih tinggi dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Majlis diakhiri dengan upacara Street Lining Mantan Panglima Wilayah Laut 2 bagi memberi peluang kepada Laksamana Muda Datuk Yusne bin Mokhtar beramah mesra dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua warga sepanjang pemerintahan beliau.
Majlis ini bukan sekadar simbol peralihan kepimpinan, tetapi juga manifestasi iltizam TLDM untuk terus kekal relevan, tangkas dan berkeupayaan dalam mempertahankan kedaulatan negara. Semangat kesetiaan, keberanian dan profesionalisme yang tersemat dalam setiap warga TLDM akan terus menjadi tunjang kekuatan organisasi ini.
“TLDM PERKASA, KEDAULATAN TERPELIHARA”
facebook.com/share/p/1Dcz7Lz…
#NavyUpdate
#kdsrisemporna
#KDSriTawau