Alhamdulillah, saya berkesempatan meluangkan masa bersama mahasiswa dan mahasiswi anak Selangor dalam program Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan yang berlangsung di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM Johor Bahru.
Program anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan & Modal Insan Negeri Selangor bersama Yayasan Selangor ini turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), SIDEC, PPAS serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai tuan rumah.
Jerayawara Siswa KITASelangor ini merupakan siri ketujuh selepas UMS, USM, UPSI, UMPSA, UiTM Selangor dan IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk terus mendekati mahasiswa serta mendengar sendiri suara dan aspirasi anak muda Selangor di institusi pengajian tinggi.
Menerusi sesi dialog bersama mahasiswa, saya dapat bertukar pandangan secara langsung mengenai cabaran semasa, kos sara hidup, akses pendidikan digital serta harapan mereka terhadap peranan Kerajaan Negeri dalam membantu pembangunan mahasiswa dan belia Selangor.
Dalam program ini juga, saya berpeluang meluncurkan inisiatif Data Internet Selangor khas buat mahasiswa UTM, UTHM dan UiTM sebagai usaha mengurangkan jurang digital serta membantu pembelajaran dalam talian mahasiswa. Selain itu, turut disampaikan bantuan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT), penyerahan bendera kontinjen LASKAR 2026 serta perasmian Majlis Mahasiswa Selangor (MaSEL) UTM sebagai wadah memperkukuh kebajikan dan suara mahasiswa anak Selangor.
Saya juga menyambut baik pelbagai pembentangan dan inisiatif yang diketengahkan oleh Yayasan MBI, PPAS dan SIDEC termasuk usaha memperkukuh budaya ilmu, literasi digital, pembangunan inovasi serta program Young Innovator MetaSEL Pitching 2026 yang membuka ruang kepada mahasiswa dan belia mengetengahkan idea kreatif serta penyelesaian inovatif untuk masa depan negeri.
Terima kasih atas sambutan dan keterbukaan yang diberikan sepanjang program ini. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mampu terus memperkukuh jaringan anak Selangor, melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta membawa manfaat yang berkekalan kepada pembangunan negeri dan negara.
#KitaSelangor