Negeri Sembilan, 12 Ogos 2025 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari hadir bagi menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 yang berlangsung di Lapang Sasar Gemas hari ini.
LKT memasuki edisi penganjuran ke-54 terus mengekalkan reputasinya sebagai latihan tahunan terbesar yang diselaraskan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan penyertaan kira-kira 2,500 anggota daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Penganjuran kali ini menonjolkan keupayaan aset, sistem persenjataan serta kesepaduan operasi ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
Buat pertama kalinya, LKT 2025 turut menyaksikan penglibatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dalam segmen Direct Fire Support Base (DFSB), sekali gus merakamkan sejarah baharu dalam memperkukuh konsep Total Defence. Antara segmen yang menjadi tumpuan adalah koordinasi tembakan meriam 155mm G5 yang menandakan sasaran dengan peluru asap, diikuti serangan udara oleh pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan SU-30MKM TUDM ke atas sasaran latihan khas.
Penggunaan Unmanned Aerial System (UAS) FlyEye turut menjadi sorotan apabila ia berjaya melaksanakan misi Target Acquisition dan Battle Damage Assessment secara masa nyata, membuktikan kemampuan ATM mengintegrasikan teknologi moden dalam operasi medan pertempuran.
Penganjuran LKT 2025 sekali lagi membuktikan komitmen ATM dalam memperkukuh kesiapsiagaan, keupayaan tempur dan pertahanan negara secara menyeluruh.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan ; Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Hj Muhammad Norazlan bin Aris TUDM serta pegawai kanan MINDEF dan ATM.
#MindefMalaysia
#MindefUpdate
#Kesiapsiagaan
#ATM