LIMA MAUT DALAM SERANGAN KE ATAS PUSAT ISLAM SAN DIEGO
OLEH MYNEWSHUB
SAN DIEGO – Lima individu dilaporkan maut dalam satu serangan tembakan di Pusat Islam San Diego, California, Amerika Syarikat yang kini disiasat pihak berkuasa sebagai kemungkinan jenayah kebencian terhadap komuniti Islam.
Kejadian berlaku apabila dua suspek berusia 17 dan 19 tahun dipercayai melepaskan tembakan di Pusat Islam San Diego yang merupakan masjid terbesar di kawasan berkenaan.
Menurut pihak polis, tiga mangsa dewasa maut di dalam masjid akibat serangan itu, manakala kedua-dua suspek kemudiannya ditemukan mati di dalam sebuah kenderaan beberapa blok dari lokasi kejadian, menjadikan jumlah keseluruhan korban adalah lima orang.
Dalam kejadian sama, seorang pekerja landskap turut dilaporkan ditembak ketika suspek cuba melarikan diri, namun mangsa terselamat selepas tidak terkena tembakan.
Pihak berkuasa turut mengesahkan kawasan masjid itu menempatkan sebuah sekolah agama, namun semua pelajar dan kakitangan berjaya dipindahkan dan disahkan selamat.
Rakaman dari lokasi menunjukkan kehadiran besar anggota polis, pasukan SWAT dan ambulans yang mengepung kawasan sekitar pusat Islam berkenaan sejurus selepas kejadian berlaku.
Polis San Diego bersama FBI kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar serangan tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kemungkinan jenayah kebencian.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata pihaknya akan meneliti insiden berkenaan secara serius.-MYNEWSHUB