Sports with Fun and Smiles: ACP 2025 Semarakkan Minat Aktiviti Fizikal
PUTRAJAYA, 13 November 2025 โ Bengkel Active Child Programme (ACP) 2025 yang dianjurkan bersama Japan Sport Association (JSPO) dan Institut Sukan Negara (ISN) di The Everly Hotel, Putrajaya berjaya menghimpunkan peserta dari Bahagian Penyelidikan dan Inovasi ISN, Pusat Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (TID), beberapa universiti tempatan serta wakil Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Bengkel ini bertujuan memperkukuh pembangunan holistik kanak-kanak serta memupuk penyertaan berterusan dalam aktiviti fizikal dan sukan melalui pendekatan menyeronokkan berasaskan pergerakan aktif dan ekspresi positif.
Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Ketua Pusat TID ISN, Encik Mohd Zaid Mohd Ghazali, serta Encik Sakai Motoaki, Pengurus Bahagian Pertukaran Antarabangsa, Jabatan Promosi Sukan JSPO.
Pada sesi pagi, Dr. Hirosho Kasuga membentangkan konsep, objektif serta analisis data berkaitan keupayaan pergerakan fizikal kanak-kanak seperti kemahiran berlari, membaling dan melompat. Sesi petang pula menyaksikan aktiviti interaktif dipimpin Encik Aono Hiroshi, di mana peserta berpeluang mencuba permainan ACP seperti Karada Janken dan Ningen Chie-no-wa yang menekankan koordinasi, kerjasama serta keseronokan dalam aktiviti sukan.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy, yang merakamkan penghargaan kepada JSPO dan semua peserta. Beliau menegaskan kepentingan kerjasama berterusan serta mengharapkan lebih banyak inisiatif bersama pada masa akan datang. Turut hadir, Dr. Yeo Wee Kian, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, serta Dr. Mohamad Fajar bin Mohamed Kasim, Pengarah Bahagian Prestasi Sukan.
Bengkel ACP 2025 menjadi platform penting dalam perkongsian ilmu antara JSPO, ISN dan pemegang taruh utama โ mengukuhkan usaha pembangunan fizikal kanak-kanak, pengenalpastian bakat serta pendidikan sukan di Malaysia, selaras dengan misi global JSPO untuk melahirkan generasi kanak-kanak yang aktif, sihat dan ceria melalui sukan.
#TeamISN #BeyondPerformance