Dua Anggota TDM Maut Dalam Insiden Latihan Membaling Grenad Di Kem Hobart
Oleh Mynewshub
GURUN, 16 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggotanya meninggal dunia selepas terlibat dalam satu insiden semasa pelaksanaan Latihan Membaling Grenad yang berlangsung di Kem Hobart, Gurun, Kedah pagi tadi.
Menurut kenyataan rasmi TDM, kejadian berlaku kira-kira jam 10.57 pagi ketika Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia sedang dijalankan.
Mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Kedua-dua anggota dilaporkan mengalami kecederaan akibat letupan yang berlaku ketika latihan berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jenazah mangsa akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota terbabit dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mendoakan agar keluarga kedua-dua anggota diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian tersebut.
Dalam masa sama, beliau mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
TDM turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Tentera Darat Malaysia. - MYNEWSHUB