Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd.
Alhamdulillah, kita telah sama-sama melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan, madrasah ruhiyyah yang mendidik jiwa, membentuk disiplin, memperkukuh integriti, dan mendidik kita tentang kesederhanaan dan kepedulian terhadap nasib mereka yang memerlukan.
Keinsafan yang lahir daripada Ramadan seharusnya membangkitkan rasa tanggungjawab untuk memperjuangkan keadilan dan membela mereka yang teraniaya.
Islam mengajar kita bahawa keadilan dan kebajikan adalah asas kepada sebuah masyarakat yang harmoni. Kita harus terus memupuk rasa hormat antara satu sama lain, memperkukuh hubungan antara kaum dan agama, serta menanam nilai ihsan dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat. Tanpa nilai-nilai ini, kestabilan dan keamanan yang kita harapkan tidak akan dapat dipertahankan.
Semoga Aidilfitri ini menjadi titik tolak untuk kita terus memperbaiki diri dan mengukuhkan perpaduan sebagai sebuah masyarakat yang berakhlak, bertanggungjawab, dan berjiwa besar. Hari kemenangan ini bukan sekadar penamat kepada Ramadan, tetapi satu permulaan untuk kita menjadi insan yang lebih baik dan lebih berwibawa.
Sempena Aidilfitri Mubarak, saya ingin memohon kemaafan atas kekurangan dan kekhilafan. Insya-Allah, saya akan terus berusaha sebaik mungkin untuk melakukan islah dan membawa kebaikan kepada semua.
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia daripada saya dan keluarga. Semoga kita dikurniakan keberkatan, kebahagiaan, dan kesejahteraan berpanjangan, Insya-Allah.
#MalaysiaMADANI
#Aidilfitri2025